suria

Mayat Lelaki Yang Menikam Bekas Kekasih Dijumpai Terdampar

PULAU PINANG: Mayat lelaki yang menikam bekas kekasihnya sebelum bertindak terjun ke dalam laut di Jalan Green Hall di sini Khamis lalu telah dijumpai terdampar oleh seorang nelayan di kawasan penambakan laut IJM, Gelugor di sini semalam.

Pegawai Operasi Daerah Maritim 2 negeri, Leftenan Komander Maritim Mohd Khairi Abdul Aziz berkata mayat itu disahkan suspek berdasarkan penemuan dokumen lesen memandu antarabangsa yang ditemui bersama mayat pada pukul 9.30 pagi semalam.

"Mayat itu ditemui dalam keadaan bengkak dan cedera di bahagian muka dan masih berpakaian lengkap," katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian Khamis lalu, lelaki berkenaan meninggalkan bekas kekasihnya di hadapan Masjid Negeri selepas menikamnya dan bertindak melarikan diri selepas sebuah kereta peronda polis lalu di tempat itu dan mengejarnya, mengakibatkan dia turut melanggar sebuah kedai bunga di Jalan Dato Keramat dan seorang penunggang motosikal.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai G.Dhanasejara, 27, kemudian bertindak melarikan diri sehingga ke Jalan Green Hall sebelum terjun ke dalam laut berhampiran.

Sementara itu saksi kejadian, Abdul Rahim Shaiful Rahman, 42, berkata mayat lelaki berkenaan ditemui ketika beliau sedang menjala udang di kawasan itu,dalam keadaan meniarap dengan bahagian muka tersebam ke dalam pasir.

"Selepas ternampak mayat itu, saya terus menghubungi pihak IJM Land Bhd kerana berdekatan dengan projek pembangunan mereka dan kemudian pihak IJM menghubungi pihak polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Gan Kong Meng mengesahkan mengenai penemuan mayat itu.

Bekas teman wanita lelaki berkenaan, yang berumur 21 tahun menerima 70 jahitan di muka dan badan dan kini masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil tetapi masih lagi trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Berdasarkan keterangan mangsa yang berasal dari Ayer Itam, bekas kekasihnya itu enggan memutuskan hubungan cinta mereka selepas bertengkar di dalam kereta, kemudian lelaki itu menghunuskan pisau dan menikam mangsa bertubi-tubi. - BERNAMA

Artikel Lain