suria

IPT Diminta Kemuka Statistik Pelajar Cemerlang Untuk Tukar Status Biasiswa

KUANTAN: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri, Mohamed Khaled Nordin meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya segera mengemukakan statistik pelajar yang mendapat kepujian kelas pertama bagi memudahkan pinjaman pendidikan mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terdapat kira-kira 2,000 pelajar yang layak mendapat kemudahan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.

Katanya, sehingga 24 Jun lalu, PTPTN hanya mendapat statistik daripada 18 IPT awam dan swasta yang melibatkan 1,200 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM26 juta.

"Sehubungan itu, saya meminta pihak IPT segera mengemukakan statistik pelajar mereka yang layak menukarkan pinjaman mereka kepada biasiswa bagi membantu PTPTN membuat persediaan yang sewajarnya, katanya kepada pemberita selepas merasmikan minggu induksi siswa Universiti Malaysia Pahang 2010 kampus Kuantan di sini hari ini.

Dalam pembentangan bajet 2010 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan supaya pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama atau setaraf mulai tahun 2010.

Mohamed Khalid berkata, PTPTN telah melaksanakan langkah berkenaan sejak 1 Julai lalu.

"Pelajar yang menamatkan pengajian pada 1 Januari lalu dan memperoleh kepujian kelas pertama serta memenuhi beberapa syarat seperti mengikuti pengajian sepenuh masa disaran mempertimbangkan pertukaran tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 105,377 pelajar mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam seluruh negara bagi sesi pengajian 2010/2011 iaitu melibatkan 58.6 peratus wanita dan 41.4 peratus lelaki.

Daripada jumlah itu, seramai 40,366 pelajar akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama manakala sebanyak 65,011 pelajar peringkat diploma termasuk di politeknik. - BERNAMA

Artikel Lain