suria

Wanita Umno Cadang Kerajaan Gubal Undang-undang Kesalahan Sosial

BESUT: Pergerakan Wanita Umno Malaysia menyarankan agar kerajaan menggubal undang-undang kesalahan sosial berikutan peningkatan kes-kes gejala sosial yang berlaku di kalangan belia.

Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim berkata dengan itu setiap kes dapat diadili mahkamah khas dan hukuman dapat dijatuhkan kepada pesalah dalam bentuk hukuman sosial.

Beliau berkata undang-undang baru perlu digubal bagi mengawal keadaan itu yang dibimbangi akan menjadi satu budaya yang tidak boleh dikawal pada satu masa nanti.

"Kegiatan seperti lepak, berpakaian tidak senonoh, mengadakan hubungan sejenis di kalangan belia dan merempit yang semakin berleluasa, perlu dicari jalan penyelesaiannya sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Besut di sini hari ini.

Menurut beliau, pergerakan itu berpendapat kes-kes kesalahan sosial yang dilakukan di kalangan belia sekarang boleh membawa banyak implikasi kepada keluarga dan negara sendiri dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

Sehubungan itu, katanya, laporan yang menyatakan terdapat 275,000 anak luar nikah yang lahir dari tahun 2000 hingga 2008 juga amat merungsingkan dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

"Bayangkanlah apa akan terjadi apabila kanak-kanak yang tidak berbapa ini tidak dibenarkan memulakan persekolahan. Sudah pasti mereka akan terbiar dan terjebak dengan gejala tidak sihat pula," katanya lagi.

Beliau berharap ibu bapa memberi perhatian serius tentang perkara tersebut dalam memastikan bukan sahaja keluarga yang sihat dapat dilahirkan malah membantu negara melahirkan rakyat yang sihat dan bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, Kamilia juga menyarankan setiap cawangan Umno di seluruh negara membuka pejabat masing-masing agar pentadbiran Umno akan lebih teratur malah ia boleh memperkasakan parti itu. - BERNAMA

Artikel Lain