suria

Umno Mesti Terus Menjuarai Rakyat Jika Mahu Menang Pilihan Raya Ke-13

JITRA: Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti terus menonjolkan diri sebagai juara menyelesaikan masalah rakyat untuk mendapatkan semula sokongan pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Noh Omar turut mengingatkan parti-parti komponen BN supaya bergerak sebagai satu pasukan dan bekerja kuat seolah-olah pilihan raya akan diadakan esok.

"Parti-parti komponen BN tidak lagi boleh bergantung 100 peratus kepada pengundi Melayu untuk menang kerana undi Melayu telah berpecah kepada tiga. Setiap parti perlu membuktikan mereka bersatu apabila dapat meraih sokongan kaum masing-masing," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Kubang Pasu di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian itu, Noh berkata program tansformasi dan dasar baru yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu difahami semua pihak terutama pemimpin parti.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kegagalan pemimpin melihat atau merasai perubahan yang berlaku akan menyebabkan transformasi dan dasar baru membabitkan rakyat di akar umbi terbantut.

Mengenai keputusan kerajaan tidak memperbaharui permit akhbar 'Suara Keadilan' milik Parti Keadilan Rakyat (PKR), katanya keputusan itu adalah tepat.

"Mana-mana akhbar yang di dapati menerbitkan artikel mengandungi fakta berunsur fitnah dan tidak benar perlu diambil tindakan supaya kebebasan yang diberi tidak disalahgunakan," katanya merujuk kepada penerbitan akhbar itu bertarikh 21 hingga 29 Jun lepas yang mendakwa Felda bangkrap.

Katanya semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, pihaknya pernah memanggil editor dan penerbit akhbar itu dan ada yang digantung kerana membuat laporan tidak benar dan berunsur fitnah.

Ketua Umno Kubang Pasu yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom hadir bersama kira-kira 800 orang perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri. - BERNAMA

Artikel Lain