suria

Umno Bahagian Disaran Pergiat Usaha Daftar Pengundi Melayu

KOTA TINGGI: Anggota Umno di peringkat bahagian perlu menggiatkan lagi usaha untuk mendaftarkan orang Melayu sebagai pengundi baru di negara ini, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, masih terdapat seramai 1.9 juta orang Melayu daripada 4.3 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.

Mohd Shafie, yang juga Pengerusi Biro Keahlian Umno, berkata sebilangan daripada orang Melayu yang belum mendaftar itu adalah anggota Umno.

"Usaha untuk mendaftar pemilih Melayu harus dipertingkatkan di semua bahagian termasuk mengadakan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan dan menggunakan kaedah baru seperti sistem online," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tenggara di Felda Bukit Besar dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas nisbah 1:40 antara Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak pilihan raya umum 2008 sehingga kini, satu hasil kajian daftar pemilih oleh Pergerakan Pemuda Umno.

Mohd Shafie, yang percaya itu bukan nisbah sebenar, berkata antara sebab orang Melayu belum mendaftar sebagai pengundi ialah kerana melihat keperluannya penting, prasarana untuk mendaftar jauh dari tempat tinggal dan mendaftar bila pilihan raya sudah hampir.

Beliau turut menyarankan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) mendaftarkan rakyat bukan Melayu sebagai pengundi kerana usaha mereka masih kurang agresif berbanding dengan pihak pembangkang.

Terdahulu semasa berucap, Mohd Shafie mengingatkan anggota Umno bahawa jumlah mereka yang ramai itu tidak akan dapat mempertahankan kedudukan Umno dan hak orang Melayu sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pengundi.

"Apa gunanya keahlian kita ramai sekiranya tidak dapat mengundi?" soalnya.

Mohd Shafie mengingatkan mereka kealpaan atau kelalaian itu akan menyebabkan anak cucu mereka menghadapi masa depan tidak terjamin. - BERNAMA

Artikel Lain