Tarik Balik Lesen: Suara Perkasa Serah Ke Pihak Berkuasa - Semasa | mStar

Tarik Balik Lesen: Suara Perkasa Serah Ke Pihak Berkuasa

PETALING JAYA: Suara Perkasa tidak bimbang mengenai kemungkinan lesennya ditarik balik, kata Ketua Pengarangnya, Daud Ibrahim.

Menurut Daud, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk memutuskan sama ada penerbitan buletin tersebut harus dihentikan atau sebaliknya.

"Kami tidak bimbang, Suara Perkasa tidak menerbitkan apa-apa yang bersifat subversif.

"Suara Perkasa menerbitkan isu dibangkitkan media lain dan mempersoalkan motif sesetengah pihak yang memandang ringan perkara berkaitan hak orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada persoalan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung artikel terbitan edisi sulung Suara Perkasa baru-baru ini.

Polis Bukit Aman dan tiga pegawai KDN berkunjung ke pejabat Media Perkasa, semalam.

"Pegawai tersebut ingin mengetahui mengapa kami memutuskan untuk menggunakan artikel mengenai isu Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah ISA pada muka depan," katanya.

Satu lagi kontroversi membabitkan petikan dari Facebook Umno Kuala Selangor mempersoalkan mengapa KDN takut mengambil tindakan atas sesetengah media vernakular yang dipaparkan pada laman 19.

Perkasa menegur Wee kerana menimbulkan isu agar biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) harus dihapuskan ekoran keputusan kerajaan untuk menghentikan biasiswa luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Daud berkata, pihaknya juga disoal tentang pertukaran alamat pejabat.

Katanya, mereka telah menjelaskan bahawa permit diberikan kepada Perkasa dan alamat itu kekal di Hotel Grand Season seperti tertera dalam borang permohonan permit itu.

Perkasa menubuhkan syarikat Media Perkasa yang berpangkalan di Setapak, Kuala Lumpur untuk menguruskan buletin itu, katanya.

Tambah beliau, kementerian itu juga bertanya tentang perubahan pada masthead Suara Perkasa.

Daud mengakui berdepan cabaran menerbit dan mengedarkan buletin tersebut.

"Sesetengah pihak memberi amaran agar jangan mencetak buletin itu. Syarikat percetakan telah menarik diri, kami terpaksa mencari alternatif untuk penerbitan kedua," ujarnya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, soal-siasat pihak berkuasa itu merupakan sebahagian cabaran dalam industri penerbitan.

"Pihak berkuasa berhak menyoal kami. Saya juga sanggup ditahan di bawah ISA buat kali ketiga jika pihak berkuasa memutuskan demikian.

"Kami menghormati keputusan pihak berkuasa, tidak seperti sesetengah pihak bersalah yang membuat kecoh apabila pihak berkuasa cuba bertindak terhadap mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain