suria

PGM Pengkalan Kubor Rampas Minyak

TUMPAT: Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, Pasukan Gerakan Marin Pengkalan Kubor merampas 6,700 liter diesel dan 27,175 liter petrol bernilai RM630,806 yang cuba diseludup ke negara jiran.

Pegawai Pemerintahnya DSP Tan Cheng San berkata rampasan dibuat menerusi menerusi 57 tangkapan yang turut menyaksikan 18 buah kereta dan lapan buah lori yang diguna dalam cubaan menyeludup dirampas.

"Turut dirampas lima bot enjin galah, dua bot nelayan pukat tunda kelas 'C' dan masing-masing satu bot nelayan kelas 'A' dan bot nelayan kelas 'B' yang diguna untuk membawa bahan bakar itu," katanya kepada Bernama selepas menghadiri kempen kebersihan pantai Geting, di sini hari ini.

Tan berkata tangkapan tertinggi ialah pada Mei dan Jun iaitu masing-masing 15 tangkapan, diikuti bulan Januari (9), April (8), manakala lima tangkapan masing-masing pada Februari dan Mac.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga pihaknya merampas 8,760 kg gula pasir, 119 kg minyak masak, bawang besar (190 kg) dan bawang putih (80 kg). - BERNAMA

Artikel Lain