suria

Pembangkang Tidak Mampu Galas Cabaran Bawa Ekonomi Negara Ke Arah Lebih Baik

IPOH: Pembangkang tidak mampu menggalas cabaran membawa ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada masa ini dan akan datang, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ahmad Husni yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata pembangkang hanya bermain dengan politik dan ia membawa kepada suasana tidak harmoni termasuk menaburkan imej tidak baik kepada agensi-agensi kerajaan termasuk kepada institusi Raja.

"Pembangkang sepatutnya mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat negara ini. Politik sebenarnya adalah soal masa depan yang melibatkan rancangan pembangunan.

"Apa yang dilakukan mereka (pembangkang) pada masa ini ialah memberikan imej buruk kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan-badan lain dan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Ipoh Barat hari ini.

Ahmad Husni berkata rakyat hendaklah kembali kepada Umno dan Barisan Nasional yang meneraju negara ini dan membawa kepada perkembangan ekonomi, mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Lain