suria

Najib Pastikan Tindakan Susulan Tambah Baik Hidup Rakyat Dilaksana Segera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan memastikan bahawa segala tindakan susulan ke arah penambahbaikan kehidupan rakyat dilaksanakan segera terutama aktiviti 'walkabout' atau turun padang yang dilakukannya.

Beliau berkata pelaksanaan tersebut bukan hanya dilakukan semasa pilihan raya kecil sahaja seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak, malah ia turut dilaksanakan ketika aktiviti turun padang.

"Begitu juga saya, mustahil tidak sedar atau perasan bahawa kehadiran saya di mana-mana pekan, kampung atau kawasan perumahan telah membantu menyelesaikan isu-isu lama yang telah berlarutan dihadapi oleh penduduk-penduduk ini.

"Saya telah dapat menyaksikan jalan-jalan yang baru diturap, bangunan-bangunan yang baru dicat semula dan rata-rata ada penambahbaikan keadaan di mana sahaja saya membuat lawatan.

"Kebanyakannya, pelaksanaan penyelesaian seperti ini memerlukan dana yang banyak, yang mana saya cuba sedaya upaya mendapatkan peruntukan setelah saya melihat dengan mata dan kepala saya sendiri," katanya menerusi laman blog www.1Malaysia.com.my, hari ini.

Najib berkata pegawai agensi-agensi kerajaan berkaitan yang hadir sama dalam setiap lawatan tersebut akan membuat catatan dan mengambil perhatian untuk mengambil tindakan susulan seterusnya terhadap segala keputusan yang telah dibuat semasa lawatan.

Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti turun padang bertemu rakyat akan memberikan peluang kepada pemimpin masyarakat dan kerajaan untuk mendapatkan maklumat bagi faedah masyarakat.

Katanya, sejarah dan tradisi membuktikan bahawa ini adalah cara pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua kampung mendapatkan maklumat untuk faedah masyarakat mereka dan bagi rakyat untuk menyuarakan isi hati dan memohon keperluan untuk sesuatu kawasan tertentu.

"Sepanjang perjalanan saya ke seluruh negara kita yang permai ini baru-baru ini, saya telah membukakan peluang bukan sekadar untuk membincangkan isu-isu setempat dengan rakyat Malaysia dari berlainan bandar dan kota, malah untuk bertindak terhadap isu-isu tersebut dan mempermudah perubahan dengan segera demi kepentingan rakyat.

"Usaha-usaha ini bertujuan untuk memberikan satu peluang kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, yang kurang bernasib baik, untuk berjaya dalam hidup mereka. Untuk melihat kehidupan dan seluruh masyarakat menjadi lebih baik hasil daripada peruntukan-peruntukan yang disediakan, kedua-duanya amat menyenangkan hati saya dan membuatkan saya berasa sungguh rendah diri," katanya.

Najib berkata pemimpin-pemimpin masyarakat dan kerajaan sentiasa meneruskan tradisi ini ketika bertemu rakyat bagi memelihara kepentingan mereka.

"Yang nyata peningkatan pada infrastruktur atau program pembangunan masyarakat akan menyusul selepas itu," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meminta orang ramai berkongsi pendapat dengannya sama ada mereka telah merasai perubahan positif yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"Dapatkah anda rasakan perubahan kepada kehidupan berkualiti anda? Saya galakkan anda memberikan komen dan kita akan bincangkan perkara ini di sini (blog 1Malaysia)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain