suria

Kerajaan Beri Bantuan Tanpa Mengira Kaum:Najib

KUANTAN: Kerajaan tidak pernah memilih latar belakang sesuatu kaum dalam memberi apa jua bantuan kepada golongan miskin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah kerajaan sentiasa berlaku adil kepada semua kaum yang memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan harian mereka, katanya pada majlis makan malam raksasa 1Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Majlis itu dianjurkan oleh beberapa dewan perniagaan dan persatuan yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India di Pahang.

Najib berkata usaha memberi bantuan kepada golongan miskin merupakan teras kerajaan dalam membela masyarakat supaya semua kaum menikmati kehidupan yang baik.

Kerajaan juga tidak memilih untuk hanya mendengar masalah daripada kaum-kaum tertentu, tetapi melihat kewajaran sama ada perkara itu dapat diselesaikan atau sebaliknya.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan menyelesaikan semua masalah, dan ini bertepatan dengan semangat 1Malaysia iaitu berlaku adil kepada semua kaum.

"Oleh itu, saya berharap kaum Cina turut sama menyampaikan sebarang pandangan dan saya sebagai Perdana Menteri bersedia untuk menimbangkan perkara-perkara munasabah untuk kepentingan semua kaum.

"Tidak seperti pihak lain yang menjanjikan sesuatu kepada satu kaum manakala kaum lain berkata perkara lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain