suria

Kembali Semula Kepada Nilai Perjuangan Parti - Najib

JERANTUT: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota dan pemimpin-pemimpin Umno kembali kepada nilai perjuangan parti yang benar-benar membela nasib bangsa, agama dan negara.

Presiden Umno berkata jika nilai perjuangan itu mula luntur dan digantikan dengan nilai yang tidak disenangi rakyat, Umno kelak akan menerima nasib malang.

"Amat penting bagi kita dalam usaha dan asas kita untuk mengukuhkan lagi Umno, yang penting sekali ialah menilai kepada nilai perjuangan kita.

"Kalau nilai perjuangan kita itu merupakan nilai yang murni berasaskan kepada keinginan untuk benar-benar berjuang membela rakyat dan dilihat sedemikian rupa, maka parti Umno akan lebih dekat di hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jerantut, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata sikap individualistik dan masalah politik dalaman perlu dielakkan dalam usaha mengukuhkan semula Umno.

Ditanya tentang anggota dan pemimpin Umno kini menghadapi sindrom "tidak kisah atau tidak bersalah" terhadap apa sahaja teguran oleh kepimpinan tertingggi, Najib berkata:

"Maknanya kita menafikan ada kelemahan. Saya mengingatkan supaya orang Umno dalam sistem demokrasi berparlimen, kita tidak kekal selamanya melainkan kita berpegang kuat kepada nilai perjuangan yang sejati dan murni.

"Insya-Allah kita akan kekal, tapi kalau nilai mula luntur dan diganti dengan nilai yang tidak disenangi rakyat, masa itu parti kita akan alami nasib agak malang," kata Najib.

Najib bagaimanapun berkata masalah yang berlaku itu masih boleh dibendung dan diperbaiki.

"Memang ada masalah sebagai parti yang dah lama, masalah itu boleh dibendung dan diperbaiki, ini proses pembaharuan, bukan pembaharuan daripada segi perlembagaan baru, buat perubahan lain daripada segi dasar, tapi nilai perjuangan mesti diperkukuhkan," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Najib berkata Umno akan dicemuh sekiranya perangai ahli dan pemimpinnya tidak mengutamakan rakyat.

Najib turut menempelak sikap ahli-ahli Umno kini yang sudah pandai "berkira-kira".

"Inilah jadi bila dah pandai berkira-kira, jadi dia dah tak kira (mengambil kira) rakyat, dia kira-kira dia sahaja. Kalau apa-apa (peluang), dia dulu, bukannya orang kampung yang lebih susah," katanya.

Najib berkata semua ahli dan pemimpin Umno di setiap peringkat perlu bertanya pada diri masing-masing apakah tujuan sebenar mereka menyertai politik, dan insaf bahawa mereka tidak seharusnya terpesong daripada landasan perjuangan dan matlamat parti.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, dan Ketua Umno Bahagian Jerantut Tengku Datuk Seri Azlan Sultan Abu Bakar. - BERNAMA

Artikel Lain