suria

Jawatan Pengerusi Umno Lima Negeri Disaran Dikembalikan Kepada Pemimpin Negeri

KEMAMAN: Kepimpinan Umno di lima buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang akan dicadang dikembalikan kepada pemimpin negeri memandangkan keadaan parti di negeri terbabit semakin pulih.

Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau dan dua rakan sejawatannya akan mengemukakan usul itu kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Secara tidak rasminya perbincangan mengenai perkara itu (penyerahan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno negeri) telah dilakukan tetapi secara rasmi masih belum.

"Oleh kerana jawatan itu diserahkan sementara waktu oleh Presiden maka perbincangan perlu dilakukan dengan beliau serta Timbalannya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun perkara itu mungkin mengambil masa.

Ahmad Zahid yang ditemui selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman diminta mengulas usul bahagian itu yang mahu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu diserah kembali kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Buat masa ini Umno Terengganu diteraju Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sementara Ahmad mengisi kerusi Timbalan Pengerusi.

Keadaan itu berlaku selepas pucuk pimpinan tertinggi Umno pada April tahun lepas memutuskan Terengganu dan empat negeri lain diketuai pemimpin tertinggi parti.

Langkah itu yang turut menyaksikan Najib mengetuai Umno Selangor, Muhyiddin memimpin Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang diteraju Ahmad Zahid dan Kedah dipimpin seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bertujuan mengukuhkan Umno.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata berdasarkan keadaan sekarang beliau yakin pemimpin Umno di negeri-negeri terbabit berupaya menyatukan kepimpinan di semua peringkat.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Biro Latihan Umno berkata modul latihan anggota Umno akan menggunakan pendekatan baru termasuk menerapkan kekuatan mental dan fizikal bagi menghasilkan anggota yang mantap ketika menghadapi 'perang saraf' pembangkang.

"Umno sering kalah daripada segi perang saraf, sedangkan pihak pembangkang banyak memanipulasikan isu dan kita akui kita ada kelemahan dalam menyerang balas. Sesuatu kekuatan itu bukannya hanya pertahanan yang kuat tetapi juga harus melakukan 'offensive'," katanya.

Beliau berkata modul baru tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan semua sayap Umno. - BERNAMA

Artikel Lain