suria

Jadikan Kesenian Malaysia Produk Pelancongan Antarabangsa:Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu memainkan peranan bagi menjadikan seni budaya negara ini suatu produk unik, yang mampu memikat hati masyarakat seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau bagi menjadikannya suatu produk pelancongan yang benar-benar menyerlah di persada antarabangsa, produk seni dan budaya negara ini perlu dibangunkan supaya memiliki tarikan istimewa.

Sambil mencadangkan agar semua pihak yang berkenaan mengenal pasti produk seni dan budaya yang mampu menarik minat masyarakat tempatan dan antarabangsa, beliau berkata pelancong hari ini mahukan sesuatu yang baru, segar dan menarik.

Kini, pelancong bukan sahaja mencari destinasi yang menarik, tetapi juga pengalaman yang dianggap istimewa, katanya.

"Bagaimanapun, tugas itu tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata, tetapi juga kepada sektor swasta yang perlu membantu bagi mencapai matlamat tersebut.

"Seluruh rakyat Malaysia, seniman terbabit, galeri seni, promoter seni, pengkritik dan pencinta seni perlu menjadikan perkara ini sebagai asas untuk menyokong dan membantu bagi menjadikan kesenian Malaysia produk yang menjadi buruan dan koleksi masyarakat dari seluruh dunia," kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis pelancaran Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (MCAT) di Galeria Sri Perdana di sini.

Mengenai festival itu, Muhyiddin berkata ia sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengamalkan kepelbagaian strategi dalam memenuhi cita rasa pelancong mewah yang gemarkan sesuatu yang unik.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin, melalui penghasilan produk yang lebih bermakna dan bernilai tinggi serta perkhidmatan berkualiti tinggi, industri pelancongan akan dapat menarik kehadiran lebih banyak pelancong mewah bagi menikmati pengalaman istimewa di negara ini.

"Saya percaya industri pelancongan mampu memainkan peranan lebih besar dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Dengan menghasilkan produk pelancongan baru dan inovatif seperti MCAT, profil negara ini boleh dipertingkatkan sebagai destinasi pelancongan utama dan pada waktu yang sama, menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi," kata beliau.

Pelancongan telah dikenal pasti sebagai satu daripada 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA).

Kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan sumbangan sektor itu sebanyak 2.1 kali dan mewujudkan kira-kira dua juta peluang pekerjaan dalam industri berkenaan menjelang 2015.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang turut hadir pada majlis berkenaan, berkata pelancongan seni telah dikenal pasti sebagai produk berhasil tinggi dan akan diperkenalkan sebagai acara tetap dalam kalender pelancongan negara, mulai tahun ini.

Sejajar dengan itu, kata beliau, festival mengenai kesenian akan diadakan antara Julai dan September setiap tahun di bandar utama di seluruh negara.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Dr Ng berkata kementerian yang beliau terajui merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bagi menjadikan Galeria Sri Perdana sebagai pameran tetap sempena pameran seni pada masa akan datang.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga melancarkan tiga teksi yang mempromosikan MCAT. - BERNAMA

Artikel Lain