suria

Institusi Pendidikan Perlu Ikuti Teknik Pengajaran, Pembelajaran Terkini

PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata institusi pendidikan perlu mengikuti teknik pengajaran dan pembelajaran terkini bagi memastikan mereka berada di kedudukan yang sewajarnya.

Beliau berkata selain menggembleng tenaga mewujudkan langkah bersepadu untuk menggilap prestasi mereka, institusi terbabit juga harus menghadapi cabaran dengan berhemah, kreatif dan inovatif.

"Pihak kolej juga perlu memperkasakan dan mengemas kini modul pembelajarannya serta meningkatkan lagi kemahiran tenaga pengajarnya agar lebih terlatih bagi memelihara kualiti dalam usaha untuk meningkatkan prestasi para pelajar serta reputasi kolej yang berterusan," katanya pada majlis makan malam amal "Selingkar Kasih Seharum Budi" Kolej Tunku Kursiah, di sini malam ini.

Rosmah yang juga bekas pelajar kolej itu berkata pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar, sama ada daripada aspek akademik atau kokurikulum.

Katanya tanggungjawab itu bukan semata-mata sebagai membalas budi dan jasa pihak kolej, tetapi adalah komitmen yang lahir untuk generasi masa depan agar mereka lebih bersedia menggalas tanggungjawab membangunkan negara, masyarakat dan agama.

"Pada pandangan saya, antara yang boleh dilaksanakan oleh pihak alumni dan PIBG adalah menawarkan kepakaran mereka kepada para pelajar dengan mengadakan ceramah atau seminar motivasi dan kerjaya.

"Ini bagi membantu pelajar untuk membuat perbandingan serta pilihan yang bersesuaian dalam mencorakkan masa depan kerjaya masing-masing," katanya.

Rosmah berkata warga korporat juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial mereka bagi membantu kerajaan dalam proses pembangunan negara seperti memberi biasiswa, pinjaman, projek sekolah angkat dan penajaan sesuatu program. - BERNAMA

Artikel Lain