suria

Gagasan 1 Malaysia Bukan Hanya Pada Ucapan Pemimpin

JELEBU: Gagasan 1Malaysia bukan berakhir dengan kempen atau ucapan pemimpin negara, ia harus dimaju dengan melibatkan rakyat untuk membangunkannya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata gagasan ini telah disemarakkan setahun dan bukan hanya diucapkan mengenainya pada majlis tertentu sahaja.

"Jadi kalau ke kampung misalnya kita harus membantu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, pesawah dan petani serta anak-anak kita yang masih belajar untuk maju ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sepetang Mengemping Bersama Masyarakat Kampung Gagu di sini hari ini.

Katanya gagasan ini memerlukan semua pemimpin termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan bertindak melibatkan rakyat.

"Apa erti sentuhan rakyat (melibatkan rakyat) itu, ia harus nampak isinya jadi kalau 1Malaysia itu asas kepada perpaduan dan nilai-nilai tunggak yang lapan maka kita harus libatkan sekolah, kampung, kampung baru, pekan, pasar, belia dan badan-badan bukan kerajaan," katanya.

"Apabila dapat sahaja peluang itu kita perlu menyumbang kepada masyarakat dan inilah yang diertikan sebagai sentuhan rakyat untuk menjayakan 1Malaysia," kata Rais.

Kejayaan membantu masyarakat maju ke hadapan akan memberikan satu gambaran bahawa kaitan di antara 1Malaysia dengan kehidupan wujud dengan konkritnya dan bukan hanya pada retorik atau cakap, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain