suria

Empat Pekerja Syarikat Keselamatan Ditahan Bantu Kes Pecah ATM

KUALA LUMPUR: Empat pekerja syarikat keselamatan ditahan tengah hari semalam kerana disyaki terlibat dalam cubaan melarikan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) di Taman Tenaga, Puchong di sini dua hari lepas. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kesemua lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam empat operasi berasingan di Puchong melibatkan pejabat dan tempat awam.

"Kami percaya mereka inilah perompak yang terlibat dalam kejadian samun ATM itu dan mereka ini bekerja di syarikat keselamatan yang mengendalikan mesin ATM.

"Kita sedang memohon perintah reman yang dijangka diperoleh hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah di sini hari ini.

Khalid berkata polis percaya dengan penahanan mereka yang mempunyai kepakaran dalam membuka mesin ATM ini, kes ini dianggap selesai namun siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Dalam kejadian itu, empat perompak berputih mata selepas gagal melarikan wang setelah memecah masuk sebuah stesen minyak dengan menebuk lubang di bahagian tandas premis stesen terbabit.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis tidak menemui sebarang tanda wujudnya unsur jenayah berhubung penemuan mayat seorang wanita dengan kesan terbakar hampir 90 peratus di luar sebuah jip kepunyaan seorang wanita Belgium di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, di sini semalam.

Katanya kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis masih menyiasat punca kejadian.

Semalam polis menemui pemetik api dan satu botol air mineral yang dipercayai diisi minyak tanah di tempat kejadian.

Terdahulu di majlis itu, Khalid berkata lebih banyak program Kempen Pencegahan Jenayah dan Program Kesedaran Jenayah akan diadakan dalam usaha mendidik masyarakat supaya bersama-sama mencegah jenayah dengan pihak berkuasa.

Katanya dengan kerjasama masyarakat, jenayah dapat dibendung sebelum ia berlaku dan seterusnya mewujudkan komuniti serta persekitaran yang tenteram. - BERNAMA

Artikel Lain