suria

Dua Hakim Syarie Wanita Anggap Pelantikan Sebagai Mengiktiraf Wanita

KUANTAN: Dua Hakim Syarie wanita yang julung kali dilantik di negara ini menganggap pelantikan mereka sebagai satu kepercayaan dan pengiktirafan terhadap kaum wanita.

Suraya Ramli, 31, dari Sabah yang sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkata beliau gembira dan bersyukur dilantik ke jawatan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Beliau berkata pelantikan itu pastinya memberi cabaran berikutan persepsi masyarakat yang menganggap hakim wanita akan condong kepada keputusan yang memihak golongan wanita.

"Itu satu cabaran yang saya rasa perlu saya tempuhi, sebenarnya sama ada hakim lelaki atau wanita, sama sahaja kerana kami mendapat pendidikan yang sama," katanya ketika ditemui pada Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di sini, hari ini.

Katanya beliau akan berusaha menjalankan tanggungjawab itu dengan penuh amanah dan adil.

Sementara itu, Rafidah Abdul Razak, 39, dari Pulau Pinang berkata pelantikannya sebagai Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan satu transformasi kepada JKSM.

Beliau yang sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM berkata pelantikannya diharap menjadi perintis kepada lebih ramai kaum wanita dalam mengisi jawatan tersebut.

"Wanita juga mampu menggalas tugas yang dipikul kaum lelaki," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain