suria

Anwar Tidak Ubah Seperti Sesumpah Politik - Najib

JERANTUT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tidak ubah seperti "sesumpah politik" yang sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan cita-cita peribadinya.

Najib berkata tindakan Anwar yang sanggup ke Amerika Syarikat bagi memohon maaf kepada tokoh-tokoh Yahudi di Amerika Syarikat atas kelantangannya mengkritik Zionis sebelum ini, lebih dilihat kepada satu usahanya untuk mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri di negara ini dengan sokongan tokoh-tokoh berkenaan.

"Apabila saya pergi ke Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu dengan Presiden negara itu, Barack Obama, bagi membincangkan kepentingan negara, saya dituduh oleh Anwar kononnya saya melutut dengan kuasa besar itu.

"Saya berunding atas kepentingan negara Malaysia kerana kita ingin melihat rakyat Malaysia mampu mencapai kejayaan di persada antarabangsa.

"Saya tidak pernah keluar perkataan ``minta maaf" tetapi dia sendiri yang pergi ke AS untuk meminta maaf atas kepentingan negara itu kerana dia takut dengan kawan-kawannya itu marah," kata Najib ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno bahagian Jerantut, di sini.

Najib berkata Anwar terpaksa berbuat demikian ekoran tindakannya sebelum ini yang telah mengkritik Yahudi dalam isu `pencerobohan Zionis' dan membangkitkan isu Apco Worldwide (Apco).

Perdana Menteri berkata penasihat PKR itu terpaksa mengadap tokoh-tokoh Yahudi di negara itu yang marah dengan tindakannya yang begitu keras mengkritik Zionis sebelum ini.

Mengikut laporan akhbar, sebuah laman web berhaluan kanan, The Evangelical Outpost yang memetik pendapat golongan kapitalis dan konservatif, Rachel Motte menganggap, Anwar adalah seorang pemimpin yang tidak mengenang budi.

Motte dilaporkan berkata, Anwar adalah pemimpin yang memperjuangkan imej pro Barat ketika di luar Malaysia tetapi untuk mendapat sokongan Melayu beliau mula bersikap anti-Yahudi dan anti-Amerika.

Najib secara sinis berkata cita-cita besar Anwar yang "terlalu ingin sangat" hendak menjadi Perdana Menteri kini hanya mengundang pelbagai masalah dan penyakit kepadanya.

"Kita tak terlalu ingin sangat akan sesuatu.., bila nak sangat-sangat, apa pun kalau nak sangat-sangat, boleh jadi penyakit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain