suria

Tiga Beranak Ditahan Ketika Cuba Sogok Polis Sewaktu Operasi DVD

MELAKA: Tiga beranak ditahan kerana cuba menyogok anggota polis yang memeriksa sebuah premis di Taman Sri Pokok Mangga, Selasa lalu dengan wang tunai sebanyak RM3,000 agar melepaskan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Supt Sum Chang Keong berkata pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka itu disyaki menjual DVD lucah dan cetak rompak di premis yang diserbu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Melaka pada kira-kira 9 malam.

"Kesemua suspek yang berumur antara 17 hingga 67 tahun itu ditahan untuk siasatan bagi kesalahan menjual DVD lucah, menjual DVD haram dan kesalahan cuba memberi rasuah di bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sum berkata dalam serbuan itu, polis merampas 66 keping DVD lucah, 117 DVD cetak rompak, wang tunai RM200, tiga buku rekod jual beli barang dan satu salinan pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Katanya, bagi kesalahan menjual DVD lucah, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda minimum RM10,000 maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menjual DVD haram, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 18 (5) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda minimum 5,000 maksimum RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sum berkata kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok. - BERNAMA

Artikel Lain