suria

Tiada Paksaan Pelajar Tunjuk Lokasi Perbuatan Khianat - Saksi

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa polis tidak memaksa seorang daripada lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa khianat dan menceroboh universiti itu untuk menunjukkan lokasi alatan yang digunakan semasa kejadian.

Cif Insp Shaharudin Tahir berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh peguam bela Mohamad Arfizi Mohd Ramli bahawa pihaknya memaksa atau memberi tekanan, sebaliknya pelajar itu melakukannya dengan rela.

Katanya, pelajar itu, Muhammad Syahrul Denn Ahmad Rosli, yang merupakan tertuduh kedua, memberikan kerjasama yang baik ketika soal siasat untuk menunjukkan lokasi tempat kediaman dan di mana sarung tangan dan tiga botol plastik ditemui.

"Saya tidak bersetuju. Tiada paksaan atau tekanan ketika tertuduh menunjukkan tempat itu sebaliknya dia memberikan kerjasama yang sepenuhnya," katanya yang merupakan saksi pendakwaan ke-10.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin, beliau memberitahu pihaknya pergi ke salah sebuah rumah sewa di mana tempat tinggal salah seorang daripada lima pelajar itu selepas dapat mengesannya di Pantai Dalam, di sini.

Beliau kemudian mengetuk pintu rumah dan mendapati seorang lelaki Melayu bernama Muhammad Syahrul Denn Ahmad Rosli, yang kelihatan agak terkejut selepas dia memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Tertuduh (Syahrul Denn) telah membawa saya ke belakang Blok F iaitu bangunan Fakulti Kejuruteraan dan telah menemui kesemua barang itu yang diletakkan di dalam longkang.

"Selepas pakar forensik mengambil kesemua barangan itu, saya kemudian dibawa ke tempat tinggal rakannya yang lain di Petaling Jaya dan hasil pemeriksaan telah menemui cat berwarna hitam.

"Tertuduh juga memberitahu saya bahawa dua lagi rakannya iaitu Izzuddin dan Aizat telah menyapu cat ke atas nombor pendaftaran sebuah motosikal," jelasnya.

Shaharuddin yang bertugas di bahagian penahanan, pencegahan dan pengawasan di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields di sini memberi keterangan dalam kes lima pelajar dari Fakulti Akademi Pengajian Islam, yang didakwa bersama-sama cuba melakukan khianat dengan api terhadap bangunan itu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 436/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lima pelajar itu ialah Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahrul Denn Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle, Mohammad Saufi Jelani, masing-masing 22 tahun dan Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin, 23.

Mereka juga menghadapi pertuduhan menceroboh bangunan fakulti itu mengikut Seksyen 447 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kelima-lima pelajar itu turut didakwa melakukan kesalahan khianat dengan menyimbah petrol ke atas permaidani dan menconteng dinding dewan utama fakulti itu, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pintu utama dewan fakulti itu kira-kira 4 pagi, 24 Jun, 2009.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff bersambung 9 Julai. -BERNAMA

Artikel Lain