suria

Strategi Baru Polis Berkesan - Tim KPN

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi ingatan kepada semua ketua polis negeri, mereka mestilah meningkatkan prestasi pasukan mereka walaupun bukan semua negeri berada di bawah kawasan panas yang dikenalpasti oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara.

Setakat ini hanya empat negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang disenaraikan di bawah kawasan panas jenayah.

Kata Ismail, cabaran utama pihak polis ialah untuk memperbaiki perkhidmatannya dan membangunkan strategi baru untuk mengembalikan kepercayaan rakyat ke atas pasukan PDRM.

“Kita tidak boleh sentiasa memberi alasan di atas kegagalan kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” tegas beliau lagi.

Ismail berada di sini untuk menilai prestasi pasukan polis negeri dan juga untuk menghadiri taklimat ‘Ops Bayan’ serta melawat pasukan polis marin di Batu Uban.

Ops Bayan, yang bermula pada 15 Mei dan berakhir pertengahan Ogos nanti adalah operasi untuk ‘membersihkan’ bahagian Timur Daya Pulau Pinang dan juga Seberang Perai Tengah (SPT). Sejak dilancarkan, indeks jenayah di kawasan berkenaan telah menurun sebanyak 10%.

“Untuk membanteras jenayah, kita perlu tahu bagaimana dan di mana jenayah itu berlaku dan siapa yang terlibat. Dan kita telahpun melaksanakan beberapa strategi yang berkesan yang tidak boleh saya dedahkan,” tegas Ismail.

Artikel Lain