suria

Permohonan Kurangkan Jaminan Tertuduh Kes Enjin Jet TUDM Hilang Selasa ini

PETALING JAYA: Permohonan seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengurangkan jumlah jaminan terhadapnya bagi kesalahan bersubahat mencuri dua enjin pesawat milik TUDM akan didengar pada Selasa ini.

Hakim Mahkamah TInggi di sini, Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu hari ini, ekoran permohonan pihak pendakwaan supaya diberikan masa tambahan bagi menjawab notis usul dan afidavit yang difailkan tertuduh, N. Tharmendran.

Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh memberikan akujanji bahawa perkara itu akan disempurnakan Isnin ini, iaitu sehari sebelum pendengaran.

“Pihak kami menerima notis usul yang tidak dimaterai pada 17 Jun lalu manakala notis yang dimaterai pula diterima pada 25 Jun lalu,” katanya.

Peguam-peguam N.Surendran dan M.Manogaran tidak membantah permohonan tersebut.

Dalam kes ini, Tharmendran, 42, memfailkan permohonan tersebut ekoran keputusan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Aslam Zainuddin yang menetapkan jaminan sebanyak RM150,000 terhadapnya.

Jaminan itu diberikan pada 6 Januari lalu, iaitu semasa tertuduh didakwa atas kesalahan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Yusop untuk mncuri dua enjin pesawat F5 Jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, dekat sini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, tertuduh masih berada dalam tahanan reman sementara menunggu perbicaraan ekoran tidak menjelaskan jaminan tersebut.

Artikel Lain