suria

Nenek Antara 58 Pelanggan Internet Ditahan Kerana Berjudi

KUALA LUMPUR: Seramai 58 pelanggan termasuk seorang nenek berusia 54 tahun ditahan dalam serbuan di lima buah pusat internet berasingan yang menjalankan kegiatan perjudian internet di Jalan Gombak, Setapak, di sini, malam tadi.

Ketua Operasi Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Supt Maszely Minhad berkata sebanyak 181 unit komputer dan wang tunai RM3,352 dirampas dalam serbuan pada pukul 8 malam itu.

Polis turut menahan tujuh pekerja lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang menjaga premis berkenaan.

"Kelima-lima pusat internet ini tidak mempunyai sebarang lesen dan ada antaranya telah lima kali diserbu sejak dua tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 19 dan 64 tahun.

Maszely berkata premis perjudian itu dilengkapi kamera litar tertutup bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Premis itu hanya membenarkan pelanggan tetap mereka untuk masuk berjudi bagi mengelakkan aktiviti haram mereka dikesan," katanya.

"Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk disiasat mengikut Seksyen 43 (A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain