suria

Mahkamah Malam Kini di 6 Bandar Utama

PUTRAJAYA: Perbicaraan pada waktu malam di bawah program mahkamah malam telahpun diwujudkan di Georgetown, Johor Baru, Shah Alam, Ipoh, Alor Setar dan Kuala Lumpur sebagai langkah mempercepatkan lagi pendakwaan khususnya yang melibatkan jenayah jalanan.

Sehingga 30 Jun lalu, lima kes telahpun dibicarakan oleh mahkamah malam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak kementerian telah bekerjasama dengan PDRM, Pejabat Peguam Negara, pihak mahkamah dan juga Jabatan Penjara untuk memastikan sistem keadilan negara diperkukuhkan.

“Baru-baru ini semua agensi dan jabatan yang berada di bawah KDN telah berbincang bagaimana langkah-langkah untuk menyelesaikan dengan segera kes-kes tertangguh khususnya yang melibatkan jenayah jalanan dan pihak kementerian telah dikemukakan dengan 28 inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah jalanan.

“Memperkenalkan mahkamah malam dan prosedur yang dikenali sebagai Kod-J adalah antara cadangan yang dikemukakan dan saya berasa gembira kerana kita dapat melaksanakan cadangan mahkamah malam sejak 1 Mac lalu,” katanya kepada para wartawan hari ini.

Hishammuddin menambah, untuk memastikan lebih ramai suspek dalam kes-kes jenayah ganas dibawa ke mahkamah dengan cepat dan cekap, beberapa langkah akan diambil antaranya mengurangkan kes-kes yang dikendalikan oleh pegawai penyiasat hanya kepada lima kes sahaja sebulan.

Lain-lain inisiatif termasuklah memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih baik agar pegawai penyiasat mampu mengambil dan mengumpul bukti dan membentuk pasukan khas yang terdiri daripada hakim dan majistret yang akan dibawa ke tempat yang mana banyak kes yang tidak dibicarakan.

Artikel Lain