Cadangan Anwar Lantik Sendiri Penasihat Undang-undang Negeri Sia-sia - Nazri - Semasa | mStar

Cadangan Anwar Lantik Sendiri Penasihat Undang-undang Negeri Sia-sia - Nazri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik sendiri penasihat undang-undang negeri bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang adalah langkah sia-sia.

Katanya, ini kerana pelantikan penasihat undang-undang di negeri-negeri tersebut adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) Negeri serta perlu mendapat kelulusan Istana.

"Di bawah peruntukan kesemua Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) negeri berkenaan (Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan) jelas diperuntukkan bahawa perlantikan seseorang Penasihat Undang-Undang Negeri adalah dibuat berdasarkan syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan iaitu Suruhanjaya Perkhdimatan Perundangan dan Kehakiman dari kalangan pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah suruhanjaya ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Anwar yang juga Ketua Pembangkang yang berhasrat untuk melantik Penasihat Undang-Undang Negeri bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang dan mengenepikan Penasihat Undang-Undang yang dilantik dari kalangan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.

Mohamed Nazri berkata, sebarang pelantikan bagi negeri Selangor dan Pulau Pinang perlu diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang mana lantikan ke jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Katanya, bagi negeri Kedah dan Kelantan pula pelantikan ke jawatan tersebut hendaklah dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan dan suruhanjaya yang munasabah untuk persetujuan Sultan sebelum pelantikan itu dimeterai.

"Oleh itu, cadangan oleh Ketua Pembangkang adalah berlawanan dengan syarat dan kehendak yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh (perlembagaan) negeri-negeri berkenaan," katanya.

Mohamed Nazri turut mempersoalkan cadangan Anwar kerana menurutnya cadangan sedemikian menggambarkan Anwar seolah-olah cuba untuk mencampuri urusan pentadbiran Undang-Undang Tubuh negeri-negeri berkenaan.

"Kita semua tahu bahawa setiap Penasihat Undang-Undang Negeri sudah tentu memberikan nasihat berdasarkan kepada undang-undang. Jadi, saya tak faham di mana silapnya penasihat undang-undang negeri ini sehinggakan Ketua Pembangkang tidak bersetuju dengan mereka.

"Apakah Ketua Pembangkang mahu mereka memberikan nasihat yang bertentangan dengan undang-undang kerana kita kena ingat penasihat undang-undang negeri hanya boleh menasihat berdasarkan kepada undang-undang dan bukannya atas kehendak sesiapa," katanya.

Beliau berkata, setiap Penasihat Undang-Undang yang dihantar kepada mana-mana negeri hanyalah memberikan nasihat tetapi keputusan untuk menerima atau sebaliknya terpulang kepada kerajaan masing-masing.

Mohamed Nazri berkata, setakat ini pihak Peguam Negara juga belum ada menerima apa-apa aduan atau rasa tidak puashati dari negeri-negeri berkenaan berhubung perkhidmatan yang diberikan, malah memohon untuk menambah lagi anggota sedia ada.

Katanya, beliau juga sentiasa berhubung dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang bagi mendapat maklum balas berkaitan perkhidmatan yang diberikan oleh Penasihat Undang-Undang yang dihantar dan jawapan yang diberikan adalah positif.

Sehubungan itu, beliau meminta Anwar agar tidak menjadikan penjawat awam itu sebagai musuh sekiranya nasihat yang diberikan mereka bertentangan dengan apa yang dimahukan.

"Saya ingat Ketua Pembangkang ini dia ada masalah lain kot hinggakan dia nak serang Penasihat Undang-Undang Negeri yang tidak membuat apa-apa kesalahan, hanya mungkin memberikan pandangan yang tidak memuaskan hati dia sahaja.

"Janganlah kita bermusuh dengan pegawai kerajaan kalau dia memberikan satu pandangan yang kita tidak bersetuju dan jangan kita marah dia sebagai tak membantu kerana mereka cuma memberi nasihat dan nasihat itu adalah berdasarkan undang-undang dan jika tak gembira janganlah dipecat mereka itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain