suria

Bicara Lelaki Belanda Dituduh Perdaya Yayasan Diraja Disember Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan Disember ini untuk perbicaraan kes seorang lelaki warga Belanda, Albert Zvonko Berdik, yang menghadapi pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memperdaya sebuah yayasan diraja.

Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan 16 ,17 dan 20 hingga 23 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Beliau membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mengadakan pertemuan dengan peguam yang mewakili tertuduh, J. Kuldeep Kumar dan Timbalan Pendakwa Raya Natrah Dollah.

Pada 4 Mei lalu, Berdik, 65, didakwa menggunakan satu dokumen disebut sebagai 'bill of exchange, Bedford International Financial Group' didakwa bernilai 150 juta Euro (1Euro=RM4.21) kononnya untuk didermakan kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Bagaimanapun, tertuduh mengetahui dokumen itu adalah palsu ketika ia diserahkan kepada yayasan tersebut di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng di sini pada tengah hari 16 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain