suria

Ahli Parlimen Saran Kerajaan Kaji Semula Caj Hospital Swasta

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen meminta kerajaan agar mengkaji semula caj yang dikenakan hospital swasta di negara ini yang disifatkannya terlalu tinggi.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata keadaan itu bukan saja membebankan pengguna tetapi juga menyebabkan 'orang biasa' tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta.

"Sebagai contoh di satu pusat perubatan swasta, jangan harap orang biasa nak dapat rawatan di situ kerana terlalu mahal. Untuk pemeriksaan biasa akan mencecah kos RM500 atau RM600 tak termasuk pemeriksaan x-ray dan sebagainya," katanya di Dewan Rakyat di sini.

Tajuddin yang membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 berkata sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula caj yang dikenakan oleh sektor tersebut agar lebih munasabah.

Sementara itu, Mohd Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau) pula mencadangkan agar pengguna yang membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) dibenar melantik peguam mewakili mereka bagi memastikan kepentingan mereka terjaga.

Ini kerana katanya, kebanyakan rakyat masih tidak tahu mengenai hak mereka sebagai pengguna di sisi undang-undang.

"Sekarang pengguna yang membuat tuntutan di Tribunal, mereka tidak boleh guna peguam, tetapi bagi syarikat mereka ada kekuatan guaman. Lebih teruk kalau selepas keputusan tribunal, syarikat membawa kes ke mahkamah untuk semakan kehakiman.

"Di sini kalau keputusan mahkamah tidak memihak kepada pengguna, maka mereka mungkin terpaksa bayar kos mahkamah, jadi ini tidak adil kepada pengguna.

"Oleh itu saya sarankan supaya kes seperti ini diklasifikasikan sebagai hak awam (public interest), jadi pengguna tidak dibebankan dengan kos mahkamah," katanya.

Tertarik dengan isu berbangkit, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee yang mempengerusikan sesi itu turut berkongsi pengalamannnya menjadi mangsa sebuah syarikat insurans yang enggan membayar tuntutannya.

"Mereka akhirnya bersetuju membayar balik wang pendahuluan bil perubatan yang saya jelaskan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital, tetapi memang jelas syarikat tersebut tidak mematuhi syarat dan terma," katanya.

Persidangan dewan disambung Isnin. -BERNAMA

Artikel Lain