suria

Tun Omar Ong Meninggal Dunia, Jenazah Dikebumi Di Makam Pahlawan

KUALA LUMPUR: Tun Omar Ong Yoke Lin, 92, yang memainkan peranan penting dalam pencapaian kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, meninggal dunia di sini hari ini kerana sakit tua.

Menurut seorang pembantu kepada isteri beliau Toh Puan Datin Paduka Hajah Dr Aishah, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di No. 44, Persiaran Duta pada pukul 8.15 pagi.

Jenazahnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan, sebelah Masjid Negara pada pukul 4.30 petang hari ini.

Allahyarham merupakan salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

Beliau terlibat dalam penubuhan perikatan Umno dan MCA, dan menyertai delegasi Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman untuk rundingan di London mengenai pencapaian Kemerdekaan pada tahun 1957.

Allahyarham yang pernah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet, juga merupakan salah seorang daripada mereka yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain