suria

Tiada Diskriminasi Kaum Bagi Tawaran Kerja Di Badan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Badan kehakiman tidak pernah mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum dalam menawarkan peluang pekerjaan, walaupun kebanyakan jawatan, termasuk majistret dan hakim di seluruh negara, diisi orang Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata permohonan untuk menyertai badan kehakiman adalah terbuka kepada semua kaum dan keturunan.

"Badan kehakiman tidak pernah sama sekali mengamalkan sikap diskriminasi terhadap mana-mana kaum, termasuk peluang pekerjaan, dengan syarat pemohon mestilah mempunyai kelayakan yang secukupnya," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wee ingin tahu bagaimana polisi 1Malaysia hendak dicapai di mahkamah rendah Kuala Lumpur kerana kebanyakan majistret dan hakim berbangsa Melayu.

Mengenai bilangan majistret dan hakim Mahkamah Sesyen di seluruh negara mengikut komposisi kaum, Mohamed Nazri berkata setakat 6 Jun lepas, 157 daripadanya berketurunan Melayu, Cina (tujuh), pribumi Sabah dan Sarawak (lapan) manakala seorang lagi berbangsa India.

"Manakala jumlah keseluruhan majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur adalah 21 orang dan semuanya berketurunan Melayu. Jumlah Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pula 22 orang, dan tiga daripadanya India," kata beliau.

Menurutnya, sebanyak 104 orang daripada 120 Hakim Mahkamah Sesyen pula berbangsa Melayu, sembilan kaum pribumi Sabah dan Sarawak, Cina (dua), India (empat) dan seorang lagi berketurunan Sikh. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain