suria

Tahanan Bunuh Tahanan Dihukum Mati

SHAH ALAM: Walaupun tiada kesan darah ditemui pada batang besi yang meragut nyawa seorang tahanan Pusat Pemulihan Kajang, dekat sini, seorang bekas buruh tetap disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh yang berlaku empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu terhadap tertuduh, D. Muthu, 29, selepas menerima keterangan beberapa saksi, termasuk pegawai penjara yang melihat kejadian tersebut.

“Saya menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan yang berada dalam jarak dekat di mana penglihatan mereka tidak terhalang oleh apa-apa, selain kejadian berlaku pada waktu siang dan di kawasan lapang, melihat tertuduh menikam mangsa,” katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail mengemukakan 14 saksi sepanjang perbicaraan.

Mohd Yazid menambah, keterangan juga menyatakan bahawa senjata tersebut dirampas daripada tertuduh selepas berlaku pergelutan antara tertuduh dan beberapa tahanan yang melihat kejadian itu.

“Selain itu, niat untuk membunuh juga dapat dibuktikan dengan tertuduh membuat persediaan senjata dan tindakannya melarikan diri selepas membunuh mangsa,” kata Mohd Yazid lagi.

Justeru itu, beliau menolak pembelaan tertuduh yang diberikan dari kandang pesalah yang mempunyai nilai keterangan rendah berbanding sekiranya tertuduh memberi keterangan secara bersumpah.

Tertuduh yang ditahan di pusat itu atas kesalahan melarikan diri dari pusat serenti didakwa membunuh Chan Seng, 43, yang mati akibat tikaman di otak pada pukul 5.05 petang, 28 Julai 2006.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang kawad pusat tersebut di Hulu Langat, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang terlibat dengan penyalahgunaan heroin sejak berusia 20 tahun diwakili peguam Jagdish Kaur.

Dalam usaha melepaskan diri daripada pertuduhan, tertuduh mendakwa dirinya ditangkap dalam satu pergelutan selepas dikejar oleh beberapa tahanan selain dipukul sehingga menyebabkan kepalanya berdarah.

Dia juga mendakwa, tidak mengenali mangsa apatah lagi mempunyai masalah dengan mangsa, yang ditahan di pusat itu juga atas kesalahan lari dari pusat serenti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain