suria

Saksi Hilang: Suri Rumah Bebas Tuduhan Bunuh

SHAH ALAM: Seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam, meluahkan rasa kesalnya terhadap pengakhiran perbicaraan kes bunuh seorang pembantu rumah Indonesia gara-gara kehilangan saksi penting.

Hakim Datuk Rosnaini Saub berkata demikian semasa melepas dan membebaskan suri rumah, Chen Pei Ee, 32, daripada tuduhan membunuh Kunarsih yang mati akibat pendarahan dalaman di dada dan abdomen kerana dipukul atau dihentam dengan benda tumpul.

“Saya merasakan amat malang kes pendakwaan seperti ini berakhir semata-mata saksi penting gagal dikesan,” katanya.

Rosnaini juga mencadangkan supaya usaha mengesan saksi yang terdiri daripada suami, ibu dan saudara terdekat Pei Ee diteruskan bagi mendapatkan penjelasan sekiranya mereka sengaja mengelak daripada memberi keterangan di mahkamah.

“JIka benar, mungkin tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka dan juga sesiapa yang membantu mereka untuk melarikan diri,” tambahnya.

Pada penghakimannya, Rosnaini juga berpendapat usaha untuk mencari saksi-saksi penting itu terlewat kerana ia hanya dimulakan selepas perbicaraan bermula pada 11 Januari lalu.

“Mereka adalah orang yang bersaudara dekat dengan tertuduh dan pihak pendakwaan dan polis sepatutnya tahu potensi untuk melarikan diri. Mereka sepatutnya tahu di mana saksi berada sepanjang masa,” ujarnya lagi.

Beliau juga tidak dapat menerima alasan saksi sukar dikesan memandangkan mereka adalah warga tempatan dan bukanlah orang asing.

Rosnaini juga berpendapat usaha mencari saksi melalui iklan di surat khabar sebagai suatu yang sia-sia.

“Mereka orang yang bersaudara dekat dengan tertuduh. Jadi tidak mungkin mereka akan menyambut seruan iklan itu. Pada pendapat saya, polis patut berusaha dari awal,” katanya.

Dalam kes ini, Pei Ee didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Kurnasih antara pukul 5 petang dan 7 malam, 14 Ogos 2007, di rumah nombor 40, Jalan Mawar 1A, Taman Puchong Perdana, Puchong, dekat sini.

Kurnasih yang berasal dari Jawa Tengah diambil bekerja empat bulan sebelum kematiannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin sementara Pei Ee diwakili peguam Mak Kah Keong yang menyebut bagi pihak Gooi Soon Seng.

Rosnaini yang mendengar keterangan 14 saksi pendakwaan berkata, tiada keterangan sokongan yang dapat membuktikan bahawa Pei Ee adalah orang yang mencederakan mangsa.

Beliau mendapati bukti ikut keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan seperti tukul yang ditemui polis yang mengandungi profil asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa dan tertuduh serta mangsa mengadu didera majikannya adalah tidak mencukupi.

Pei Ee menyambut keputusan itu dengan tangisan gembira sebelum beredar bersama beberapa lelaki dipercayai ahli keluarganya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain