suria

Orang Asli Mati Terkena Tembakan Senapanag Buatan Sendiri

BERA: Seorang lelaki Orang Asli mati akibat terkena tembakan senapangnya sendiri selepas beliau terjatuh dari motosikal ketika sedang memburu babi hutan bersama dua rakannya di kawasan ladang getah Kampung Bukit Rok di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Ahmad Zahid Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.30 petang semasa Chai Musa, 40, menunggang motosikal berasingan ke kawasan ladang getah berkenaan sebelum berpecah daripada rakannya untuk menjejaki binatang itu.

Beliau berkata Chai dipercayai melalui jalan berbukit dan senapangnya, yang merupakan senapang buatan sendiri, diletakkan dalam bakul di bahagian depan motosikal.

"Bagaimanapun motosikal Chai dipercayai tergelincir akibat hujan lebat ketika mendaki sebuah bukit menyebabkan senapang itu tertembak dengan sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata dua rakan Chai bergegas mendapatkannya selepas terdengar bunyi tembakan kerana menyangka dia berjaya menembak binatang buruan, namun mereka mendapati Chai terbaring di sisi motosikalnya dalam keadaan berlumuran darah.

Beliau berkata Chai meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Menurutnya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan polis kemudiannya merampas selaras senapang patah buatan sendiri serta beberapa butir peluru milik Chai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain