suria

Nazri Mohon Maaf Kesilapan Jawapan Parlimen Baru Di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam meminta maaf pada persidangan Dewan Rakyat atas kesilapan jawapan mengenai perpindahan bangunan Parlimen.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, berlaku salah tafsiran oleh pegawainya berhubung perkara itu menyebabkan jawapan bertulis yang diberikan kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) awal bulan ini tidak tepat.

"Jawapan bertulis itu diberikan tanpa mendapat kelulusan daripada saya. Perkara itu boleh berlaku kerana tafsiran yang dibuat oleh setiap pegawai tentang apa yang telah diminitkan dalam minit mesyuarat Kabinet.

"Sebab itu perkara ini berlaku. Jadi saya nak minta maaflah kerana perkara ini berlaku dan apa yang berlaku tidak patut berlaku tetapi sudah pun berlaku dan saya bertanggungjawab buat pembetulan di Dewan ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Dalam jawapan bertulis berkenaan, Mohamed Nazri berkata, Jemaah Menteri baru-baru ini memutuskan agar bangunan Parlimen yang baru didirikan di Putrajaya, manakala bangunan lama dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, isu perpindahan bangunan Parlimen itu timbul selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam penilaian ke atas bangunan itu melaporkan bahawa terdapat kemerosotan keselamatan di bangunan yang berusia 50 tahun itu.

Ekoran itu, JKR mengemukakan tiga cadangan iaitu sama ada kerajaan membaik pulih bangunan sedia ada, membina bangunan baru dan membaik pulih bangunan sedia ada atau menaik taraf bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bangunan lama dibaik pulih sebagai bangunan sejarah.

"Bagaimanapun semua itu sedang diteliti, belum ada keputusan muktamad," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain