suria

Kememterian Dinasihat Rayu Keputusan Laporan Audit Air

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dinasihat supaya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Kerajaan Persekutuan mengumumkan laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatanganinya dengan kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Peguam Negara telah menasihatkan kementerian membuat rayuan supaya maklumat laporan audit dan perjanjian konsesi air tidak didedahkan secara umum, kata menteri berkenaan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya bila rayuan itu akan dibuat.

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintah Kerajaan Persekutuan mengumumkan laporan itu yang ditandatangani dengan kerajaan negeri Selangor dan Syabas kepada orang ramai.

Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail berkata pendedahan dokumen itu tidak bercanggah dengan kepentingan negara dan awam, sebaliknya ia akan memenuhi kepentingan awam kerana memaklumkan kepada mereka cara kerajaan berfungsi dan menggalakkan perbincangan tentang perkara berkaitan hal ehwal awam.

Hadhariah membuat keputusan itu bagi memenuhi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak lain agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai.

Pada 7 November 2006, mereka menghantar sepucuk surat kepada menteri itu memohon agar laporan audit dan butiran perjanjian konsesi berkenaan didedah kepada umum, tetapi ditolak kementerian berkenaan pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen terbabit telah diklasifikasi sebagai sulit dan rahsia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain