suria

FELDA Tidak Bankrap, Kewangan Stabil - Rozali

SUBANG: FELDA tidak bankrap sebaliknya kedudukan kewangannya adalah kukuh dan stabil, tegas Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail hari ini.

"FELDA mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh yang disokong oleh aset-aset syarikat yang sentiasa meningkat dan bernilai tinggi," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata GWGF telah mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan FELDA sejak seminggu lepas dan mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi FELDA mengenai kedudukan kewangan dan prestasi lembaga itu.

Rozali berkata walaupun berlaku penurunan kedudukan tunai syarikat dengan pembelian aset-aset yang kukuh dan mempunyai nilai pulangan yang tinggi, ini tidak membimbangkan dan tidak menunjukkan susut nilai pegangan ekuiti Koperasi Permodalan FELDA Bhd yang dianggotai oleh para peneroka dalam FELDA Holdings. "Bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan kewangan FELDA pada masa akan datang, GWGF mencadangkan pada bila-bila masa kedudukan tunai FELDA mestilah tidak kurang dari RM1 bilion," katanya.

Rozali berkata GWGF turut mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pelaburan ditubuhkan di mana sebarang pelaburan FELDA yang besar dan melibatkan perbelanjaan tinggi perlu diluluskan oleh jawatankuasa terbabit.

Rozali turut berkata GWGF melalui anggotanya yang terdiri daripada peguam bela dan peguam cara akan meneliti tindakan undang-undang sewajarnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengelirukan fakta dengan tujuan memecahbelahkan masyarakat peneroka FELDA.

"Kita akan lihat tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang cuba memainkan isu ini," katanya.

Beliau meminta warga FELDA tidak terpengaruh dengan dakwaan dan tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh mereka yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi.

GWGF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada Ogos 2002 dan dianggotai kira-kira 400 orang generasi baru peneroka FELDA dari 317 Rancangan Tanah FELDA di seluruh negara.

GWGF juga bertindak sebagai penasihat kepada enam persatuan peneroka FELDA lain.

Sementara itu, satu memorandum bantahan terhadap akhbar Suara Keadilan dihantar ke ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Damansara hari ini oleh anggota GWGF yang diketuai oleh Setiausaha Agung GWGF Datuk Abdullah Abu Bakar.

Memorandum itu membantah laporan Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lepas yang memaparkan laporan muka depan "Felda Bankrap". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain