suria

Dua Lelaki Belanja RM150, Samun Kedai RM13,000

KUANTAN: Dua lelaki yang membelanjakan RM150 di sebuah kedai serbaguna di Bandar Baru, Kuala Lipis bukan sahaja mengambil balik duit tersebut malah melarikan barangan dan wang tunai berjumlah RM13,000 serta pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai tersebut.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketika kejadian kira-kira 4 petang semalam, tiga pekerja kedai tersebut sedang melayan dua pelanggan sebelum didatangi kedua-dua lelaki terbabit.

Beliau berkata, setelah membeli barangan, kedua-dua mereka keluar dari kedai itu namun datang kembali sejurus selepas dua pelanggan lain meninggalkan kedai tersebut.

"Suspek terus mengeluarkan parang dan mengarahkan tiga pekerja kedai tersebut pergi ke bahagian belakang kedai sebelum mengikat mereka dengan pita pelekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kedua-dua mereka kemudian menggeledah kedai tersebut sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM3,500, barang kemas, telefon bimbit dan pelbagai produk jenama Cosway. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain