suria

Bekas Buruh Dihukum Gantung Bunuh Penghuni Pusat Pemulihan Dadah

SHAH ALAM: Seorang penghuni pusat pemulihan dadah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang juga penghuni pusat pemulihan itu, empat tahun lepas.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh, D Muthu, 33, gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai buruh, didakwa membunuh Song Chan Seng, 43, di Padang Kawad Pusat Pemulihan Kajang, kira-kira pukul 5.05 petang pada 28 Julai 2006.

Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail memanggil seramai 16 saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam Jagdish Kaur mengemukakan seorang saksi.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata tertuduh yang semasa kejadian berumur 29 tahun dimasukkan ke pusat pemulihan itu pada Jun 2006 kerana terlibat dalam dadah jenis heroin sejak dia berusia 20 tahun.

Beliau berkata tertuduh dalam pembelaannya berkata dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan mangsa dan menafikan bahawa dia ada menyerang mangsa menggunakan benda tajam.

Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata saksi-saksi pendakwaan dalam keterangan mereka memberitahu bahawa mereka nampak tertuduh menghampiri mangsa dan telah menikam mangsa sebelum berlari ke arah pegawai pusat pemulihan tersebut.

"Kira-kira 10 penghuni yang nampak kejadian itu kemudian telah mengejar dan mengepung tertuduh sehingga berlaku pergelutan dan pergaduhan. Saya terima keterangan saksi pendakwaan bahawa senjata pembunuhan iaitu sebatang besi dirampas daripada tertuduh selepas pergelutan itu.

"Kejadian berlaku di siang hari dan di kawasan terbuka dalam keadaan pantas. Saya puas hati tidak ada halangan penglihatan langsung semasa kejadian dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dibawa oleh tertuduh," katanya.

Mohd Yazid berkata beliau mendapati tertuduh menikam mangsa dengan senjata tersebut walaupun tidak dijumpai kesan tikaman (pada senjata) dan kain putih yang membaluti senjata itu tidak mempunyai kesan darah.

"Meskipun begitu, saya terima keterangan saksi-saksi pendakwaan yang berada dalam jarak dekat dengan tempat kejadian yang melihat tertuduh guna senjata itu dan tikam mangsa. Berdasarkan semua keterangan saya dapati tindakan menikam mangsa hanya menjurus kepada tertuduh dan had kecederaan pada mangsa menunjukkan tertuduh ada niat membunuhnya.

"Selain itu, niat membunuh juga dibuktikan dengan tindakan tertuduh yang buat persediaan dengan membawa senjata dan tindakan tertuduh larikan diri selepas menikam mangsa. Justeru, saya dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan tertuduh didapati bersalah serta dihukum gantung di leher sehingga mati," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain