suria

Usaha Jatuhkan Presiden MIC Tidak Akan Berlaku - Mohan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata, bekas timbalannya, V. Mugilan tidak akan berjaya dalam usaha menjatuhkan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu kerana tindakan itu hanya boleh dilakukan melalui perhimpunan agung tahunan.

"Dia (V. Mugilan) tak boleh buat apa-apa... pemecatan beliau (Samy Vellu) hanya boleh dilakukan menerusi kuasa Presiden sendiri ataupun ketua cawangan yang panggil adakan AGM (perhimpunan agung tahunan)," katanya kepada pemberita.

Mohan berkata, perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang dirancang Ahad ini di Klang tidak akan berjaya ekoran perpecahan yang berlaku dalam gerakan itu.

"Saya yakin GAS tidak akan berjaya kerana mereka telah berpecah kepada dua pihak... satu pihak K.P. Samy (bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC) dan satu lagi Mugilan sendiri. Kenapa beliau (V. Mugilan) nak buat juga perhimpunan itu kalau tahu tak mendapat sambutan?" katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran tabung kutipan derma bagi M. Kumaran yang mengalami masalah buah pinggang di Wisma MIC di sini hari ini, Mohan berkata beliau merancang untuk pergi ke perhimpunan itu. "Sekiranya beliau (V. Mugilan) benar-benar nak buat perhimpunan itu, saya mungkin datang dan tengok apa yang dia cakap tentang MIC.... saya ada dengar Karpal Singh (Pengerusi DAP) mungkin nak datang juga," katanya.

Terdahulu, Mohan merayu kepada orang ramai supaya dapat memberi sumbangan kewangan bagi membiayai pembedahan buah pinggang Kumaran pada 7 Julai depan.

Kumaran, 31, yang berasal dari Klang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM70,000 bagi membiayai pembedahan pemindahan buah pinggangnya di Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Kia Peng di sini.

Kumaran, yang pernah bekerja sebagai operator kilang terpaksa berhenti kerja setelah disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik sewaktu melancong di India lima tahun lepas.

Dia kini menjalani rawatan dialisis di pusat perubatan itu dengan perbelanjaan RM2,000 seminggu termasuk kos ubat-ubatan.

Kakaknya, M. Netachumy, 36, yang bekerja sebagai kerani di sebuah kelab malam bersetuju mendermakan buah pinggangnya. - BERNAMA

Artikel Lain