suria

Polis Tahan Tujuh Lelaki Culik Ahli Perniagaan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes culik seorang ahli perniagaan dalam tiga serbuan di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi bersepadu polis Kuala Lumpur bersama Melaka dan Negeri Sembilan pada 25 hingga 28 Jun lepas setelah mangsa dibebaskan.

Beliau berkata mangsa, berumur dalam lingkungan 60-an, diculik pada 16 Jun lepas di sekitar Salak Selatan, Cheras sebelum dibebaskan pada 25 Jun, selepas dikurung selama sembilan hari di sebuah bangunan di sekitar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pada mulanya penculik meminta wang tebusan sebanyak RM5 juta tetapi keluarga mangsa akhirnya membayar RM1.2 juta selepas berunding dengan kumpulan penculik berkenaan.

"Keluarga mangsa membuat laporan polis selepas mangsa diculik dan sejurus mangsa dibebaskan tanpa dicederakan, kami melancarkan gerakan bersepadu dan menahan tujuh lelaki berusia 30 hingga 40 tahun," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

"Tiga suspek ditahan di kawasan Skudai, Johor Baharu, dua di Jasin, Melaka, seorang di Sepang, Selangor dan seorang lagi di Seremban, Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Honda Accord dan dua motosikal dari kumpulan itu selain wang tunai berjumlah RM468,200 yang disyaki sebahagian daripada wang tebusan itu.

Muhammad Sabtu berkata, dua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah dan rompakan dan kumpulan itu dipercayai turut terlibat dalam rompakan kargo.

"Polis kini memburu enam lagi ahli kumpulan ini yang telah dikenalpasti dan kami percaya baki wang tebusan ada bersama mereka.

"Mangsa juga dipercayai tidak mengenali kesemua suspek dan penculikan dijalankan selepas dirancang semua ahli kumpulan yang memainkan peranan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka direman tujuh hari bermula hari mereka ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. - BERNAMA

Artikel Lain