Polis Tahan 13 Rakyat Asing Dan Rampas Dadah - Semasa | mStar

Polis Tahan 13 Rakyat Asing Dan Rampas Dadah

IPOH: Polis menahan 13 rakyat asing termasuk seorang wanita serta merampas hampir setengah kilogram dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Hutan Melintang, Teluk Intan, kira-kira 100 km dari sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Supt Muhamad Zaki Harun berkata, mereka ditahan di sebuah rumah kira-kira pukul 4.30 petang.

"Ketika polis mengadakan serbuan di rumah itu, seramai 13 orang warga Myanmar termasuk seorang wanita sedang menonton televisyen dan mereka yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri tetapi berjaya di tahan.

"Polis kemudian menemui satu kotak yang mengandungi tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin seberat 555 gram," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad berkata, polis menemui satu alat penimbang eletronik yang dipercayai diguna untuk menimbang dadah sebelum diisi dalam paket kecil untuk dijual.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan khususnya kawasan Hutan Melintang, Bagan Datoh serta Teluk Intan manakala anggaran harga pasaran dadah yang dirampas itu adalah dalam lingkungan RM12,000.

"Siasatan juga mendapati kesemua suspek berusia antara 18 hingga 40 tahun itu tiada dokumen perjalanan yang sah dan mereka dikatakan bekerja sebagai nelayan di sekitar Hutan Melintang," katanya.

Kesemua mereka kini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain