suria

Kokurikulum Mungkin Diambil Kira Jika Mansuh UPSR, PMR

BUKIT MERTAJAM: Kokurikulum mungkin diambil kira dalam menilai pencapaian pelajar sekiranya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan perlu membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

"Mungkin kokurikulum juga satu daripada aspek (menilai pencapaian), tetapi saya tidak mahu terangkan dulu kerana perlu dibincangkan dengan Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum sebarang ketetapan dibuat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Jambori Persahabatan Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kokurikulum dijadikan salah satu aspek untuk menilai pelajar jika kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan UPSR dan PMR pada masa akan datang kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Alimuddin berkata, kementerian itu sedang mengumpul maklum balas daripada semua pihak terlibat sebelum satu sesi meja bulat diadakan bagi membincangkan cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

"Kami akan menjemput pelbagai pihak antaranya parti politik bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah merujuk kepada penasihat undang-undang berhubung pengisytiharan cuti umum pada 7 Julai ini oleh Kerajaan Pulau Pinang sempena pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Kami akan umumkan perkara ini dalam tempoh satu atau dua hari lagi," katanya yang diminta mengulas sama ada semua sekolah di Pulau Pinang akan turut diberikan cuti pada hari berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain