suria

Kadar Jenayah Jalanan Menurun 36.89 Peratus

KUALA LUMPUR: Kadar jenayah jalanan berkurangan 36.89 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, jenayah keseluruhan juga didapati turun 13.9 peratus bagi tempoh antara Januari dan Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2009.

Menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini Hishammuddin berkata, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah pihak kementerian mengambil langkah melaksanakan penempatan semula 7,402 anggota polis yang dahulunya membuat tugas-tugas pentadbiran.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menyerap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Relawan Rakyat (RELA) bagi ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi kadar jenayah.

Beliau berkata, bagi meningkatkan rasa hormat masyarakat terhadap perkhidmatan polis pula, kerajaan menetapkan bahawa lima peratus kadar jenayah keseluruhan dikurangkan bersama-sama pengurangan 20 peratus jenayah jalanan menjelang akhir tahun ini. Katanya, untuk itu 496 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di negeri Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang beserta 90 buah balai polis bergerak membabitkan 30 bas dan 60 van.

Menurut Hishammuddin, dua inisiatif juga diwujudkan iaitu pegawai atasan polis digalakkan meronda bersama-sama anggota bit dan patrol di bawah inisiatif 'High Profile Policing dan 'Stop and Talk' agar anggota bit dan patrol dapat berinteraksi dengan masyarakat.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Manan, Hishammuddin berkata, KDN akan memaparkan indeks jenayah di dalam laman webnya setelah semua maklumat daripada peringkat daerah sehingga kementerian diselaraskan.

Menurut beliau, penyelarasan itu penting bagi menentukan ketepatan maklumat serta tiada perkara yang perlu dibimbangkan bagi dipamerkan untuk tatapan umum.

"Maklumat dan data dari bilik-bilik operasi yang disediakan bermula dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Bukit Aman dan KDN perlu dikumpul, diselaras dan dikoordinasikan supaya maklumat yang dipaparkan adalah tepat," katanya. "Ia akan dipaparkan dan dipamerkan apabila keempat-empat lapisan maklumat iaitu IPD, IPK, Bukit Aman dan juga KDN sudah dikoordinasikan agar maklumat yang bakal diumumkan adalah tepat supaya orang ramai tahu tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Abdul Manan dalam soalannya meminta penjelasan adakah pihak kementerian akan memaparkan indeks jenayah itu kerana Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop ketika menggulung perbahasan Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10) kementerian itu memaklumkan kerajaan tiada perancangan untuk memaparkannya sedangkan Hishammuddin sebelum itu menyatakan sebaliknya.

Menurut Abdul Manan, percanggahan kenyataan itu menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai.

Hishammuddin berkata, sebenarnya tidak timbul percanggahan maklumat berhubung isu itu sebaliknya kementerian perlu menunggu semua maklumat dikumpulkan sebelum ia boleh dipaparkan.

"Saya lihat tidak ada percanggahan (dalam hal ini) kerana timbalan menteri hanya menyatakan bahawa PDRM buat masa ini tidak ada cadangan untuk pamerkannya tetapi diperingkat KDN, seperti yang saya umumkan ia akan dipaparkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain