suria

Empat Lori Dicuri lima Tahun Lepas Ditemui

JOHOR BAHARU: Empat buah lori dengan nilai keseluruhan RM150,000 yang dicuri lima tahun lepas ditemui semula selepas polis menahan tiga lelaki di Felda Gugusan Adela dekat Kota Tinggi, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kumpulan lelaki berkenaan yang berusia antara 36 dan 53 tahun itu ditangkap antara pukul 5 petang dan 7.30 malam hasil maklumat orang ramai.

Kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam satu kes lain, Mohd Mokhtar berkata seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah restoran di Taman Skudai Baru pada Rabu lepas dipercayai mengendalikan judi nombor ekor tidak berlesen.

Lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 40 dan 39 tahun itu dipercayai menjadikan restoran tersebut sebagai tempat operasi, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Lain