suria

Trend Pengambilan Pekerja Masa Kini Mampu Kurangkan Graduan Menganggur

KUALA LUMPUR: Trend majikan mengambil pekerja pada masa kini menekankan produktiviti dan kesesuaian calon yang boleh membantu mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata punca ramai graduan menganggur adalah disebabkan bidang kelulusan mereka kurang mendapat permintaan daripada majikan.

"Tetapi masalah ini boleh diatasi kerana trend pengambilan pekerja masa kini yang tidak menumpukan kepada kelulusan calon semata-mata," katanya menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang ingin tahu jumlah graduan yang menganggur serta sebab-sebab mereka tidak diambil bekerja.

Dr Subramaniam berkata mengikut statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bilangan siswazah yang tidak berjaya mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian adalah seramai 30,000 orang.

Beliau berkata bagi meningkatkan kebolehpekerjaan graduan, kementerian melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad telah melaksanakan Program Kebolehpekerjaan Graduan dengan memberi nilai tambah sebelum memasuki pasaran pekerjaan terutama dalam bidang teknologi maklumat (ICT) yang diperlukan dalam perkhidmatan bergaji tinggi. "Seramai 1,000 graduan akan dilatih di bawah skim ini pada tahun ini," kata Dr Subramaniam.

Selain itu, beliau juga berkata pelbagai program turut diadakan oleh kementerian lain termasuk Program Peningkatan Skim Perindustrian yang dikendalikan Kementerian Kewangan, Skim Pengurusan Kebolehpekerjaan Graduan (GEMS) oleh Khazanah Nasional Berhad, Program Penyumberan Proses Perniagaan dan Program Latihan SME-Universiti yang diselaraskan KPT. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain