suria

Tian Chua Mohon Merayu Keputusan Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Batu, Tian Chua, yang tidak pasti tentang statusnya sebagai wakil rakyat, memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan hari ini supaya membenarkan beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Jun lepas yang mendendanya RM2,000 kerana mencederakan seorang anggota polis.

Tian Chua perlu berbuat demikian kerana kesnya berasal dari Mahkamah Majistret.

Dalam permohonan beliau, Tian Chua, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, 47, juga memohon agar dia diberi tempoh lanjutan selama 14 hari untuk memfailkan dan mengemukakan notis rayuan.

Dalam afidavitnya, Tian Chua berkata beliau wajar diberi kebenaran membuat rayuan kerana terdapat 13 persoalan undang-undang yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

Antara persoalan itu ialah sama ada denda RM2,000 yang dikenakan itu menghilangkan kelayakannya sebagai Anggota Parlimen mengikut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

Satu persoalan lagi ialah sama ada majistret berkenaan perlu memastikan wujudnya kes prima facie mens rea (niat untuk menyebabkan kecederaan) di pihak Tian Chua apabila membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie.

Tian Chua juga meminta Mahkamah Rayuan memutuskan sama ada majistret berkenaan boleh bergantung pada rakaman video yang belum diterima sebagai bukti dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan membuktikan wujudnya kes prima facie.

Beliau juga memohon mendapatkan keputusan daripada mahkamah itu sama ada seseorang itu boleh menolak daripada ditangkap polis jika tangkapan itu salah di sisi undang-undang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengenakan denda RM2,000 terhadap wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat itu selepas mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua sebelum itu kerana mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, di jalan menghala ke bangunan Parlimen pada 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Kekeliruan berlaku apabila timbul pendapat bahawa Tian Chua perlu mengosongkan kerusi Parlimen yang diwakilinya disebabkan oleh jumlah denda yang dikenakan terhadapnya walaupun Hakim Ghazali menyatakan bahawa hukuman denda sebelumnya dikurangkan bagi mengelak pilihan raya kecil diadakan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain