suria

Polis Tahan 13 Individu Disyaki Bookie Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 orang termasuk dua wanita berumur antara 22 dan 50 tahun yang disyaki menjadi bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2010 dalam lapan serbuan di Ampang dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kesemua mereka ditahan dalam 'Ops Soga' yang dijalankan sejak 6 Jun lepas.

"Serbuan itu dilakukan di beberapa premis seperti rumah, restoran, pangsapuri dan kafe siber yang dijadikan pusat operasi menerima pertaruhan dari kaki judi yang bertaruh untuk perlawanan edisi Piala Dunia kali ini," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada 11 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.

"Nilai taruhan pula adalah antara RM300 hingga RM5,000. Saya percaya dalam satu-satu perlawanan jumlah nilai taruhan itu boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit," katanya.

Abdul Jalil berkata, hasil semua serbuan itu, polis merampas beberapa buah komputer, jadual perlawanan, set modem dan wang tunai berjumlah RM4,400.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM200,000.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, tekanan perasaan adalah punca utama yang mendorong seorang lelaki berusia 30 tahun menikam dirinya sebelum terjatuh dari bumbung sebuah rumah kedai setinggi 15 meter dalam satu kejadian di Taman Melawati di sini, semalam.

Lelaki itu, yang bekerja sebagai penjaga kolam ikan di Perak, datang ke ibu negara untuk bertemu abangnya, dua hari lepas.

Bagaimanapun pada kira-kira 11 pagi, dia dikatakan mengamuk dan menikam mati rakan serumah abangnya yang menyewa di rumah kedai berkenaan.

"Dia kemudian memanjat bumbung rumah kedai terbabit sebelum terjatuh dan disahkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 6.25 petang.

"Siasatan awal mendapati dia mengalami tekanan perasaan dan dia juga ada menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja kepada abangnya, dua hari sebelum kejadian itu berlaku," katanya.

Abdul Jalil berkata, polis telah merakamkan keterangan abang lelaki itu serta lima saksi di tempat kejadian untuk siasatan terperinci kes itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain