suria

Penolong Pengurus Tanah Kumpulan Semesta Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Seorang Penolong Pengurus Tanah di Kumpulan Semesta Sdn Bhd iaitu syarikat milik kerajaan negeri Selangor hari ini, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah yang didakwa sebagai dorongan mempercepatkan proses mengusahakan pasir di Sungai Langat, Dengkil, dekat sini.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Abd Wahab Nordin di peringkat akhir pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie untuk dijawab tertuduh.

Pada penghakimannya, Mat Ghani juga mempersoalkan laporan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran ia berlainan dengan pertuduhan yang dihadapi Abd Wahab, datuk kepada tiga orang cucu tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Zakiah Che Man mengemukakan sembilan saksi sepanjang perbicaraan sementara pembelaan diwakili peguam-peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid dan Salim Bashir.

Abd Wahab didakwa menerima suapan bernilai RM3,000 daripada Mohd Shafiq Idrus pada pukul 3 petang, 18 September 2009 di Maybank Cawangan Kajang, Jalan Tukang Pekan Kajang, Hulu Langat, dekat sini.

Suapan itu yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Abd Wahab, dikatakan sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan Mohd Shafiq bertarikh 6 Oktober 2009 bagi mengusahakan pasir di sepanjang sungai tersebut.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, semasa ditemui, Abd Wahab meluahkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan itu.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa tiada gejala rasuah dalam syarikat Semesta,” tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain