suria

Peniaga Roti Canai, Posmen Bebas Tuduhan Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Seorang peniaga roti canai dan seorang posmen dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada dua tuduhan mengedar 1.3 kilogram dadah jenis kanabis tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan bagi tertuduh, Norhisham Moksin, 36, dan Abdul Rahim M. Ali, 37, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Norhisham dan Abdul Rahim didakwa mengedar 437 gram kanabis di sebuah rumah di Jalan Impian 2/18, Taman Impian Jaya, Kulaijaya, pada 8 malam 10 Jan 2009 manakala bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar 955 gram kanabis dalam sebuah kereta di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala Norhisham dan Abdul Rahim masing-masing diwakili peguam Sukhaimi Mashud dan G.Paramaswaran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain