suria

Nasib Peniaga Pasar Malam Dalam Kes Bunuh Muntik Diketahui 19 Julai Depan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Julai depan bagi memutuskan sama ada peniaga pasar malam yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia Muntik Bani, akan dibebaskan atau digantung sampai mati.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas mendengar Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam V.Rajehgopal di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 18 Januari lepas, mahkamah telah mendengar keterangan 50 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan.

Murugan, 35, didakwa membunuh Muntik, 36, di rumahnya di Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 Oktober dan 20 Oktober tahun lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada 26 Oktober lepas, setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Terdahulu, Rajehgopal berkata akuan nazak mangsa (berhubung perbuatan tertuduh ke atasnya) adalah bercanggah serta dan tepat, oleh itu, ia tidak boleh dikaitkan dengan punca kematiannya iaitu akibat kecederaan belakang serta jangkitan kuman di kaki kanan.

Katanya, tiada bukti jelas menunjukkan bahawa kecederaan itu dilakukan Murugan antara 18 Oktober dan 20 Oktober tahun lepas, saksi pendakwaan memberitahu mahkamah pernah lihat tertuduh menampar serta menendang mangsa.

"Justeru saya hujahkan bahawa tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka di luar keraguan munasabah berdasarkan penilaian maksimum keterangan secara keseluruhan," katanya.

Mohd Dusuki pula berhujah pembelaan Murugan merupakan penafian semata-mata yang tidak boleh dipercayai, selain tidak konsisten.

Beliau berkata antara lain, tertuduh menafikan dia ada mengurung Muntik dalam tandas atau menderanya dengan cara memukul, menendang serta tidak memberi mangsa makan dan minum ketika dikurung.

"Pembelaan tertuduh adalah bertentangan dengan keseluruhan keterangan kes dan keterangan tertuduh sekurang-kurangnya perlu disokong oleh keterangan lain bagi menguatkan keterangannya serta kredibiliti tertuduh atau sekurang-kurangnya untuk menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain