suria

Mangsa Nekad Tangkap Peragut

KUALA LUMPUR: Dengan bantuan orang ramai, seorang lelaki nekad memberkas seorang peragut sejurus selepas beliau menjadi mangsanya di kawasan IOI Puchong di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 27 tahun itu serta merta mengejar peragut itu apabila dia merampas begnya ketika sedang meletakkan motosikalnya di tepi sebuah restoran segera di pusat beli-belah itu pada kira-kira 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata dalam kejadian itu, peragut itu, yang membonceng motosikal Suzuki RGV merah terus menyerahkan beg itu kepada rakannya yang kemudian melarikan diri dengan motosikal itu.

Beliau memberitahu pemberita di sini bahawa hasil siasatan lanjut ke atas suspek, polis menangkap rakannya itu di kawasan Industri Ringan di Jalan Permai 2, Bukit Puchong dan merampas motosikal itu.

"Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, polis kemudian ke rumah sewa mereka di Kampung Kenangan Puchong dan menemui satu beg warna hitam milik mangsa yang mengandungi barangan bernilai RM200," katanya.

Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif syabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain